MEMILIH baju anak-anak mengikut cita rasa ibu bapa akan lebih mendewasakan mereka daripada usia sebenar. Tersilap memilih boleh mempengaruhi pembentukan emosi mereka apabila besar kelak.
Kebanyakan ibu bapa di negara kita tidak kira kaum lebih memilih mengikut cita rasa mereka tanpa memikirkan kesesuaiannya dengan kanak-kanak itu sendiri. Ibu bapa biasanya lebih terpengaruh dengan kain yang bercorak cantik di mata mereka dan jenis kain yang lembut serta sejuk dipegang tanpa memikirkan keselesaannya apabila sudah dijadikan pakaian.
Sedangkan kain yang sedemikian adalah panas kerana bukan daripada sumber asli. Sejuk dipegang di tempat yang berhawa dingin.
Menurut pereka fesyen terkenal Bill Keith, kain kapas paling sesuai dengan kanak-kanak dan cuaca negara kita yang panas ini.
Fesyen atau kain yang cantik itu tidak semestinya mahal. Paling penting bagaimana kita pelbagaikan kain yang berwarna serta menggabungkan warna dan fesyen.
Katanya, ''ramai ibu bapa memilih pakaian yang siap dipakai yang banyak dijual di pusat membeli-belah tanpa memikirkan jenis kain antaranya kain polyester yang panas dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.''
''Tidak salah memakaikan anak dengan pakaian tradisional seperti kurung atau kebaya tetapi jangan dibuat ketat dan dalam warna terang penuh bunga-bungaan. Seakan tidak memberi anak-anak bernafas,'' ujar Bill.
Ada pula yang memberi anak-anak memakai pemerah bibir dan pipi ketika menghadiri kenduri kendara hingga menghodohkan mereka.
Semua ini seakan cuba mendewasakan anak sebelum tiba masanya dan serba sedikit turut mempengaruhi jiwa kanak-kanak itu.
Bill yang ditemui di butiknya di jalan Alor, melahirkan rasa kesalnya kerana ramai ibu bapa tidak memberi ruang kepada anak untuk menentukan pilihan mereka.
Bill yang pernah mengambil bidang psikologi di Universiti Toronto, Kanada turut mengaitkan kesan pemilihan pakaian dengan keselesaan kanak-kanak. Kesilapan memilih kain untuk dibuat baju kanak-kanak menyebabkan anak merasa kurang selesa, gatal, panas dan berat.
Jika dipakaikan kepada kanak-kanak yang lebih kecil, mereka akan menangis tidak tentu fasal kerana masalah di atas berbanding dengan anak-anak yang memakai pakaian selesa mudah mesra, lebih ceria dan kelihatan lebih cerdik.
Dari kaca mata seorang pereka fesyen, baju yang sesuai dengan kanak-kanak ialah yang kelihatan comel apabila dipakai, berwarna cerah dan ringkas yang mana akan memberi kesan kelihatan lebih sihat, bersih dan tidak terseksa.
Beliau memberi contoh, bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun untuk pakaian hari-hari pilihlah yang dibuat daripada kain untuk baju T, bagi memudahkan pergerakannya.
Bagi yang berbadan atau agak montel gunakan potongan segi empat agar kelihatan lebih comel. Elakkan daripada terlalu banyak beropol dan jangan lupa memilih kain yang lembut dan ringan. Anak lelaki pula lebih baik pakaikan mereka baju T dengan seluar daripada kain kapas. Jika mahu memakai kemeja pilihlah daripada kain kapas juga. Kain kosong, berbelang atau berpetak amat sesuai untuk mereka tetapi jangan menggunakan terlalu banyak warna.
Kanak-kanak akan nampak selesa dengan sentuhan mewah begini sebaliknya jika terlalu banyak warna dari sudut psikologi boleh membuatkan anak-anak berada dalam kekeliruan. Bill memberikan panduan, jika ibu bapa mahu juga anak berpakaian corak atau bunga, sebaiknya jangan lebih daripada tiga warna. Pilihlah corak yang tidak terlalu besar dan rapat.
Pemilihan pakaian turut memberi kesan kepada pembentukan sikap anak di masa hadapan.
Kiranya tidak selesa mereka kurang menumpukan perhatian kepada apa yang dibuatnya ketika belajar atau bermain.
Akibat daripada salah memilih pakaian atau warna mereka mungkin berasa sensitif dan kurang bergaul dengan kawan-kawan sebaya kerana bimbang akan menerima ejekan.
Ibu bapa moden hari ini patut membenarkan anak-anak membuat pilihan sendiri kerana dalam usia tujuh tahun mereka sudah pandai menentukan apa yang dimahukan.
Kita boleh lihat ada anak-anak dalam usia begini merasa malu jika disuruh memakai baju tidak berlengan. Ibu bapa mungkin dapat melihat ada anak-anak yang asyik gemarkan baju yang itu, itu juga setiap kali keluar berjalan kerana kesesuaian dari segi potongan, fesyen atau warna.
''Ini membuktikan yang anak dalam satu peringkat usia sudah pandai membuat pilihan dan mempunyai cita rasa sendiri,'' ujar Bill.
Tambahnya lagi, ''ini yang membezakan orang dewasa dengan kanak-kanak kerana orang dewasa mungkin lebih memilih yang cantik dan jarang memikirkan yang selesa di pakai anak-anak.''
Dari segi hiasan pula renda, kuntum bunga kecil, reben, poket dan butang boleh juga dijadikan hiasan baju kanak-kanak.
Pilihlah warna pastel kerana warna garang tidak sesuai dengan perkembangan jiwa kanak-kanak dan cuaca di negara kita.
Oleh: FAUZIAH HASSAN
Pintu Kayu Durian
8 months ago